UMS, AMC College Tandatangan Surat Niat –


KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menandatangani surat niat (LoI) bersama sebuah institusi pendidikan swasta tempatan AMC College, baru-baru ini.

LoI tersebut bertujuan mempromosi UMS kepada orang ramai sebagai salah satu institusi permulaan dalam program sijil perakaunan secara profesional di bawah peperiksaan Chartered Institute of Management Accountants (CIMA).

Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Md. Mansur berkata melalui hubungan kerjasama itu, kedua-dua pihak dapat menyokong usaha Institut Perakaunan Malaysia (MIA) dalam menyasarkan penambahan bilangan akauntan bertauliah di Malaysia.

Katanya program tersebut juga turut menawarkan kemudahan biasiswa dan penajaan kepada para pelajar dan alumni UMS berdasarkan kelayakan tertentu mengikut terma dan syarat para penaja.

“Melalui kerjasama ini juga, UMS dan AMC bersetuju untuk berkongsi secara aktif mengenai pengajaran, penyelidikan serta pentadbiran yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak melalui penganjuran seminar, bengkel dan persidangan.

“Adalah adalah penting bagi UMS dan AMC saling bekerjasama dan memastikan kolaborasi pembangunan yang terbaik, khususnya dari aspek akademik serta meningkatkan kebolehpasaran siswazah yang menepati sasaran MIA,” tambahnya.

Pada majlis menandatangani LoI tersebut, UMS diwakili Profesor Datuk Dr. Kasim manakala AMC College diwakili oleh Ketua Eksekutif, Bryan Lo Ching Wing.

AMC College ditubuhkan pada tahun 1985 dan merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta yang berdaftar di bawah Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Ia menawarkan pelbagai kursus dari peringkat sijil hingga pascasiswazah.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.