Tidak kuat line internet bikin susah pelajar ikut PdPR di Kampung Iban Merotai Tawau


Masalah jaringan internet yang lemah menyukarkan pelajar di Kampung Iban Merotai untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) ketika ini.

Walaupun kampung itu hanya 34 Kilometer (KM) daripada bandar Tawau, namun capaian internetnya memang agak kurang memuaskan.

Namun, semua masalah itu tidak mematahkan semangat Esther Gracy Jeffrey,15, Queen Esther Jeffrey,9, dan Esthervia Ruth Jeffrey,8, untuk mengikuti sesi PdPR walaupun terpaksa bersusah payah.

Ketiga-tiga adik beradik ini terpaksa berjalan sejauh 500 meter ke jalan besar, semata-mata untuk mendapat capaian internet sekiranya PdPR dijalankan.

Esther pelajar tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Abaka Tawau berkata dalam seminggu dia terpaksa keluar ke simpang jalan sebanyak tiga kali untuk mendapatkan jaringan internet.

ADVERTISEMENT

“Kami terpaksa muat turun kerja-kerja sekolah yang dihantar oleh cikgu melalui aplikasi Whatsapp kerana kekangan untuk mengikuti PdPR secara langsung.

“Selepas itu, kerja-kerja sekolah tersebut kami gambar dan akan dihantar semula melalui aplikasi Whatsapp dengan cikgu,”katanya

Menurutnya, sekiranya mata pelajaran yang memerlukan penerangan, kami terpaksa memerlukan data internet yang lebih untuk muat turun video yang diberikan oleh cikgu.

“Walaupun pembelajaran PdPR ini sukar dilalui kerana terpaksa mencari kawasan yang mempunyai liputan internet dan mengeluarkan belanja, tetapi ianya tidak mematahkan semangat untuk terus belajar,”katanya

Bagi Queen pula walaupun mereka terpaksa menjalani PdPR yang sangat minima kerana masalah capaian internet tetapi tidak bermakna ianya menjadi alasan untuk tidak belajar.

“Cikgu pun memahami keadaan kami dan banyak membantu supaya kami boleh terus menerima kerja-kerja sekolah seperti pelajar lain.

“Selain itu, sekiranya ada kerja sekolah yang saya tidak faham, kakak banyak membantu memberikan penerangan berkenaan mata pelajaran tersebut,”katanya

Manakala, Esthervia murid tahun dua di Sekolah Kebangsaan Bombalai pula sudah mula merindui suasana pembelajaran di sekolah.

“Saya sudah rindu mahu ke sekolah, mahu jumpa cikgu dan belajar bersama rakan-rakan macam sebelum ini,”katanya

Katanya, belajar di rumah memang sangat susah kerana tidak berdepan dengan cikgu, terpaksa keluar lagi ke simpang jalan mahu muat turun kerja sekolah.

“Kadang-kadang ada mata pelajaran yang saya tidak faham, hanya mengharapkan penerangan daripada kakak supaya boleh buat kerja sekolah yang diberikan,”katanya

Untuk rekod, lebih 50 pelajar di Kampung Iban Merotai mengalami kesukaran mengikuti PdPR kerana masalah capaian internet.

Mereka terpaksa mencari kawasan yang mempunyai capaian internet supaya boleh memuat turun semua kerja sekolah yang diberikan. – Utusan Borneo



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *