Tidak dengar kena suruh kuarantin, Warga Pakistan kena kompaun RM8,000 di Tawau


Seorang lelaki warga Pakistan dikenakan kompaun RM8,000 selepas didapati ingkar arahan kuarantin sejak 27 Mei lalu.

Lelaki berusia 40-an itu didakwa melakukan dua kesalahan iaitu Seksyen 22(b) kerana tidak mematuhi perintah yang dikeluarkan oleh pegawai diberikuasa mengikut Akta 342 dan Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Terdahulu warga Pakistan itu diarahkan menjalani kuarantin di rumah bersama lapan individu lain selepas isterinya disahkan positif COVID-19 pada 25 Mei lalu.

Bagaimanapun, suspek didakwa menanggalkan gelang tangan berwarna putih selain turut turun ke kedai kain miliknya di Jalan Chester, di sini, untuk berniaga.

Perbuatannya itu diketahui selepas orang awam menyedari keadaan isteri suspek yang sedang menjalani rawatan.

Orang ramai bertindak melaporkan kejadian tersebut kepada Jabatan Kesihatan Daerah Tawau (JKDT) untuk melakukan siasatan dan tindakan lanjut.

Susulan daripada aduan diterima, kakitangan JKDT melakukan pemeriksaan di premis suspek, jam 12 tengah hari, semalam.

Suspek berjaya ditemui, namun, lelaki itu dikatakan memberikan maklumat salah dan mendakwa individu yang dicari pihak berkuasa sudah pulang ke Pakistan.

Namun, selang tiga jam kemudian, hasil pemeriksaan di sebuah kediaman di Batu 2, Jalan Apas, lelaki yang sama ditemui di Jalan Chester, turut berada di rumah tersebut.

Sehubungan itu, suspek ditahan pihak berkuasa selepas didakwa ingkar arahan kuarantin seperti yang ditetapkan.

Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr. G. Navindran ketika dihubungi, mengesahkan penahanan suspek.

“Sehingga kini, kita telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM8,000 kerana tindakannya ingkar arahan kuarantin.

“Selain itu, JKDT juga dalam proses melengkapkan kertas siasatan bagi mengesan beberapa kesalahan lain dipercayai turut dilakukan lelaki berkenaan,”katanya.

Dalam masa sama, premis lelaki itu turut ditutup serta-merta bagi tujuan sanitasi, manakala semua pekerja di situ menjalani ujian saringan COVID-19 dan dikuarantin selama 14 hari.

Sementara itu, Navindran memuji tindakan orang awam yang peka terhadap kepentingan kuarantin dan COVID-19.

“Tindakan lelaki itu memberikan kesan ramai pihak termasuk pekerja, pelanggan atau sesiapa yang ditemuinya kerana berpotensi menyebabkan penyebaran COVID-19,” katanya. – Utusan Borneo



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *