Selain kadar jangkitan meningkat, pandemik ancam kesihatan mental


Sasaran Putrajaya untuk beralih fasa dari perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh dilihat masih dalam dilema bagi beberapa negeri dengan lebih 6,000 kes dilaporkan sejak lima hari lalu.

Dua kali, pada 1 dan 2 Julai, jumlah kes menghampiri angka 7,000 selepas masing-masing merekodkan 6,988 dan 6982 kes. Selangor terus mencatat jumlah jangkitan tertinggi.

Jumlah mereka yang ditempatkan dalam rawatan intensif rata-rata sekitar 900 orang dengan yang tertinggi dicatatkan pada 1 Julai dengan 917.

Pada Isnin, kadar kebolehjangkitan Covid-19 negara, atau R0 ( R-naught), kembali meningkat ke 1.0. Semalam, ia berada pada tahap 1.07.

Sementara dua menteri persekutuan bercanggah mengenai sama ada sektor perkilangan menyumbang kepada wabak itu, sejumlah 86 kluster dikesan dalam tujuh hari lalu.

Aspek lain dari kesan pandemik tersebut adalah pada kesihatan mental, dengan semakin banyak kes bunuh diri dilaporkan.

Pada Selasa, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat rata-rata empat kes bunuh diri setiap hari selama tiga bulan pertama tahun ini, dengan 336 kes dilaporkan kepada polis.

Jumlah selama tiga bulan itu lebih daripada separuh yang dilaporkan sepanjang tahun 2020.

Seminggu sebelumnya, Noor Hisham berkata 122,328 individu membuat panggilan talian bantuan psikososial Kementerian Kesihatan (KKM) sejak enam bulan lalu, kebanyakannya mengalami masalah sosial berkait Covid-19.

FMT melihat secara ringkas berita utama mengenai Covid-19 sejak seminggu yang lalu.

Kes kematian di luar hospital (BID) meningkat 7 kali ganda

Pada Jumaat, Noor Hisham berkata sebanyak 246 kes BID dilaporkan bulan lalu. Pada April adalah 35.

Dari 4,856 kematian yang dilaporkan tahun ini, 670 adalah kes BID, dengan mangsa berusia 50 hingga 70 tahun.

Tiada campuran vaksin buat masa ini

Tiada percampuran vaksin Covid-19 di negara ini, buat masa ini, walaupun terdapat data awal global mengenai vaksinasi heterologi.

Menteri Penyelaras Imunisasi Covid-19, Khairy Jamaluddin berkata, data tersebut masih belum mendapat kata putus dari kerajaan.

5 negeri akan beralih ke Fasa 2

Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Perlis akan beralih kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai esok selepas mencapai tiga indikator yang ditetapkan kerajaan pusat.

Penerima suntikan AstraZeneca mungkin sukar bergerak bebas di dalam Eropah

Rakyat yang menerima suntikan vaksin AstraZeneca mungkin sukar bergerak bebas di dalam Eropah susulan EU hanya mengiktiraf vaksin diluluskan Agensi Perubatan Eropah (EMA).

Menurut laporan CodeBlue, kelulusan vaksin Covid-19 oleh EMA tidak meliputi AstraZeneca yang dihasilkan SK Bioscience Korea Selatan, atau Siam Bioscience Thailand. Khairy Jamaluddin akan mendapatkan penjelasan EU.

Jangan malu, jangan segan kibar #BenderaPutih

Bendera putih, atau #BenderaPutih, sebuah kempen mengajak mereka yang bergelut dengan kewangan isi rumah untuk meminta pertolongan tanpa rasa takut atau malu dengan mengibarkan atau menggantung bendera putih di depan rumah mereka sebagai isyarat memerlukan bantuan segera.

Beberapa individu dan pertubuhan dari beberapa lokasi seluruh negara mempunyai hasrat murni mahu membantu insan yang memerlukan.

Sebahagian Selangor berada di bawah PKPD

Sebahagian besar kawasan di Selangor akan berada di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) sehingga 16 Julai, berikutan peningkatan kes Covid-19. Semua daerah di Selangor kecuali Sabak Bernam akan terjejas.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *