PSM mahu jalin pakatan pilihan raya dengan PH –


Parti Sosialis Malaysia (PSM) mahu menjalin pakatan pilihan raya dengan Pakatan Harapan (PH) supaya “empat atau lima” calonnya boleh bertanding kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) atas tiket gabungan itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi PSM, Dr Michael Jeyakumar Devaraj berkata, ahli parti itu mendesak cadangan untuk menjalin pakatan pilihan raya dengan PH kerana menyedari mereka tidak boleh menang secara bersendirian.

Tetapi, katanya, PSM tidak bercadang menyertai PH sebagai parti komponen secara rasmi.

“Parti kami tiada masalah dengan calonnya menggunakan lambang PH. Ini untuk mengelakkan pertembungan dengan gabungan itu semasa pilihan raya.

“Perkara paling penting untuk PSM ialah memastikan wakil rakyatnya diberi sedikit kebebasan untuk membincangkan isu penting buat golongan pekerja di Dewan Rakyat dan DUN.

“Analisis kami terhadap isu tertentu berbeza dengan PH, jadi kami perlu mempunyai kebebasan untuk menyuarakan pandangan kami, kecuali isu membabitkan kepercayaan dan belanjawan.”

Katanya, ia termasuk pandangan parti berhubung undang-undang buruh, pengangkutan awam, perjanjian perdagangan bebas (FTA) dan pengurusan tanah negeri.

Jeyakumar berkata, untuk menyertai PH sebagai parti komponen akan menjadi “proses sangat rumit” bagi PSM.

“Kita perlu melalui banyak rundingan. Juga, apa berlaku jika timbul dasar neoliberal yang kita tidak setuju dalam manifesto mereka? Ia terlalu rumit.”

PSM yang ditubuhkan pada 1998, bertanding PRU13 atas tiket Pakatan Rakyat dan memenangi kerusi Parlimen Sungai Siput di Perak serta kerusi DUN Kota Damansara di Selangor.

Jeyakumar, yang menewaskan bekas presiden MIC, S Samy Vellu di kerusi Sungai Siput pada PRU12, berjaya mempertahankan kerusi itu pada PRU13. Nasir Hashim, pengerusi PSM ketika itu, gagal mempertahankan kerusi DUN Kota Damansara.

Bertanding di bawah panji PSM, Jeyakumar tewas di kerusi Sungai Siput pada PRU14.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.