Polis Kota Samarahan minta bantuan awam jejak suspek kes bunuh


KOTA SAMARAHAN: Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan hari ini meminta bantuan orang ramai untuk menyalurkan maklumat bagi membantu usaha memburu seorang suspek kes pembunuhan di Bandar Riyal, di sini, beberapa hari lepas.

Ketua Polis Daerah DSP Lee Chong Chern berkata suspek yang dicari dikenali sebagai Ato, berusia lewat 30an, yang berasal dari Singkawang, Kalimantan Barat, Indonesia.

Menurutnya dalam kejadian pada 21 Dis lepas, polis menerima laporan mengenai penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah di sebuah bilik sewa dalam bangunan kedai dua tingkat di Bandar Riyal di sini pada kira-kira pukul 4.00 petang.

Beliau berkata hasil bedah siasat menemukan banyak kesan tikaman pada badan lelaki yang berumur dalam lingkungan 20an yang berasal dari Betong, Sri Aman, mangsa kejadian itu, dan menurutnya siasatan menunjukkan bahawa rumah berkenaan disewa oleh dua lelaki Indonesia, salah seorangnya ialah Ato, yang melarikan diri dengan mengunakan sebuah kereta selepas kejadian itu.

“Kejadian dipercayai berlaku di antara pukul 3.00 pagi dan 6.00 pagi 20 Dis, dan polis telah menahan salah seorang penyewa rumah itu,” katanya pada sidang media di IPD Kota Samarahan, di sini.

Lee seterusnya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek untuk menghubungi Hotline IPD Kota Samarahan dengan menelefon 082-662300 atau menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kota Samarahan, ASP Abdul Rahim Abdullah dengan menelefon 013-8000777…— BERNAMA



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *