Moratorium, subsidi dan diskaun antara inisiatif perlu diperkenalkan kerajaan: FMBA


Moratorium pinjaman, subsidi upah dan diskaun bil utiliti adalah antara inisiatif yang perlu diperkenalkan oleh kerajaan bagi membolehkan perniagaan terus bertahan semasa perintah sekatan penuh selama dua minggu.

Dalam kenyataan, Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) yang terdiri daripada gabungan kumpulan perniagaan berkata, mereka mengalu-alukan pelaksanaan perintah sekatan menyeluruh bermula 1 Jun ini susulan keadaan wabak Covid-19 yang semakin buruk.

Bagaimanapun ia berkata, langkah itu akan memberhentikan permintaan domestik dan memberi kesan ke atas pengangguran, pendapatan boleh guna dan pelaburan.

Sehubungan itu, FMBA mencadangkan lima inisiatif yang boleh dilakukan oleh kerajaan bagi mengawal kesan perintah sekatan, terutamanya moratorium pinjaman automatik, bantuan kewangan, subsidi upah, pelepasan statutori serta subsidi utiliti.

Kumpulan itu mahukan moratorium pinjaman sama seperti yang diberikan tahun lepas, tetapi kali ini dengan kadar faedah sifar dan dilanjutkan selama tujuh bulan sehingga 31 Disember tahun ini.

“Ia harus merangkumi syarikat kredit dan pajakan yang tidak dimasukkan dalam moratorium semasa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama.

Katanya, hanya perniagaan yang terus beroperasi penuh seperti dalam sektor pembuatan, penjagaan kesihatan dan sarung tangan getah dikecualikan.

FMBA berkata, data awam menunjukkan lapan bank tempatan mencatatkan keuntungan berjumlah RM93 bilion dalam tempoh tiga tahun lepas.

“Oleh sebab bank hanya melepaskan RM6.4 bilion semasa moratorium pertama, maka moratorium berikutnya hanya membabitkan sejumlah kecil daripada keuntungan mereka.”

Persekutuan itu juga mahu pinjaman mudah diberi kepada syarikat perniagaan, selain program subsidi upah selama enam bulan untuk semua industri melainkan yang terus beroperasi.

Menurut cadangan itu lagi, FMBA mahukan subsidi upah 70% untuk semua kakitangan dengan gaji kurang RM4,000 dan subsidi 30% (dengan had maksimum RM3,000) bagi mereka dengan gaji lebih RM4,000.

“Semua syarat statutori dibekukan sehingga 31 Disember.

“Ini termasuk, tetapi tidak terhad kepada KWSP, Socso, sistem insurans pekerjaan, cukai jualan dan perkhidmatan, cukai pintu, penilaian, laporan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, ansuran Lembaga Hasil Dalam Negeri serta bayaran levi pekerja asing.

FMBA juga mencadangkan diskaun 50% diberi ke atas bil telekomunikasi dan jalur lebar, dengan perniagaan bukan perlu diberi pelepasan 100% selama tiga bulan.

Kementerian Kewangan dijangka mengumumkan bantuan kewangan kepada orang ramai dan perniagaan yang terkesan oleh perintah sekatan menyeluruh tidak lama lagi.

Terdahulu bulan ini, dengan angka kes Covid-19 terus meningkat, FMBA berkata, ia “mendahulukan nyawa lebih daripada mata pencarian” dan anggotanya “bersedia berdepan kesukaran demi negara dan rakyat”.

Mereka juga meminta Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pihak berkuasa berkaitan bekerjasama dengan sektor swasta dalam merangka prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.

FMBA mewakili 262 persatuan dan dewan perniagaan yang terdiri daripada 95 syarikat dalam pelbagai sektor serta menggaji lebih tujuh juta kakitangan.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *