Masakan masin, badan berbau antara punca perceraian di Terengganu



KUALA TERENGGANU: Masakan masin dan badan berbau disenaraikan antara punca penceraian yang direkodkan di negeri Terengganu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, kedua-dua kes itu melibatkan pasangan yang baru  mendirikan rumah tangga kira-kira dua tahun.

Sehubungan itu, Hanafiah berkata, pihaknya serius dalam usaha mengurangkan serta menangani masalah perceraian hanya kerana alasan-alasan remeh seperti itu.

Antara usaha yang diambil kerajaan negeri, kata beliau ialah, menawarkan peluang berbulan madu kali kedua kepada pasangan yang bermasalah.

Peluang berbulan madu itu, katanya, dianjurkan dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK).

“Semua nama peserta ini kita ambil yang pejabat agama sudah (diberi) kaunseling dan pejabat agama merasakan bahawa mereka masih ada peluang untuk hidup bersama.

“Jadi kita (YPK) buat honeymoon (bulan madu) kali kedua… (hasilnya) sebahagian besarnya meneruskan perkahwinan tetapi ada juga sebahagian kecilnya bercerai,” kata beliau kepada pemberita di sini pada Rabu.

Menurut Hanafiah, bagi tempoh Januari hingga 13 November tahun ini, sebanyak 1,745 kes penceraian direkodkan di negeri Terengganu.

Selain alasan masakan masin dan badan berbau, beliau berkata, campur tangan keluarga, perkahwinan jarak jauh dan masalah sosial antara pasangan sehingga ada pihak ketiga turut menyumbang kepada statistik tersebut.

Kata Hanafiah lagi, umur paling muda dalam perceraian yang direkodkan di negeri ini ialah 17 tahun sementara usia paling tua pula 75 tahun.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.