Madius gesa kerajaan tubuh badan selia industri kecantikan untuk lindungi keselamatan pengguna


Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) menggesa kerajaan agar satu badan penyelia ditubuhkan bagi memantau industri kecantikan di negara ini.

Menurutnya, permintaan sains kecantikan (estetika) pada masa kini semakin tinggi menyebabkan berlaku peningkatan bilangan pengamalnya di pasaran.

“Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) pada tahun 2013, jumlah dagangan kosmetik adalah kira-kira RM1.7 bilion (USD$407 juta. Namun, sejak 40 tahun yang lalu, tidak ada undang-undang yang spesifik untuk mengawal selia industri kecantikan.

“Oleh yang demikian, kemalangan estetik yang menyebabkan kecederaan dan maut telah berlaku kepada pengguna. Ini telah menimbulkan kebimbangan orang ramai kerana insiden tersebut disebabkan oleh pengamal kecantikan tidak berlesen khususnya mereka yang tidak bertauliah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam Ucapan Kamar Khas di Persidangan Parlimen Dewan Rakyat, di Kuala Lumpur kelmarin.

Madius yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, kemalangan yang berlaku memberi impak negatif kepada imej pengamal profesional yang mempunyai kelayakan dan bertauliah.

“Laporan dari Pusat Khidmat Pengguna Nasional (NCCC), terdapat 1,771 kes aduan yang berkaitan dengan kecantikan dan estetika telah dilaporkan pada tahun 2018.

“Aduan-aduan tersebut merangkumi prestasi perkhidmatan, kaedah rawatan, kekeliruan maklumat, kaedah pemasaran yang tidak beretika, caj perkhidmatan, komplikasi kesihatan, pembatalan pakej, pembatalan keahlian, premis perniagaan, keselamatan dan penipuan.

“Ini telah menyebabkan kerugian sebanyak RM18,857,458.07. Oleh kerana itu, perlulah diwujudkan sebuah badan yang mampu boleh mengawal selia sendiri (self-regulated) pengamal kecantikan yang bertauliah untuk memastikan keselamatan pengguna,” jelasnya.

Madius (kiri) dan Timbalan Menteri KPDNHEP, Dato’ Rosol Wahid (kanan) mengambil gambar kenangan selepas ucapan Kamar Khas Parlimen.

Mengulas lanjut, Madius memaklumkan bahawa sebuah badan kawal selia sendiri dalam industri tersebut telah  membuat permohonan kepada KPDNHEP, namun sehingga kini masih  belum menerima sebarang maklum balas.

“Syarikat tersebut ialah Association of International Certified Aesthetician (AICA) merupakan  sebuah organisasi profesional bukan kerajaan/bukan keuntungan yang telah ditubuhkan pada tahun 2015.

“Objektif utama penubuhan persatuan ini adalah untuk membentuk satu eko-sistem undang-undang yang lengkap untuk industri kecantikan.

“AICA juga telah bekerjasama dengan IPEC Certification Bureau, sebuah badan pensijilan ISO (ISO certification body) yang diakreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia untuk memperkasakan profesion kecantikan melalui penganugerahan sijil ISO kepada individu yang layak dan menepati kriteria yang telah ditetapkan,” katanya.

Ujar Madius, AICA juga telah menerbitkan garis panduan  “Beauty Therapist and Aesthetic Specialist Guideline” khusus untuk para pengamal kecantikan.

“Saya cadangkan satu badan bukan kerajaan seperti AICA diberikan tanggungjawab untuk mengawal selia industri kecantikan demi kepentingan rakyat dan menyumbang kepada ekonomi negara.

“Badan ini harus bekerjasama dengan KPDNHEP, Kementerian Kesihatan dan lain-lain agensi yang berkaitan untuk merealisasikan tujuan ini.

“Saya ingin bertanya apakah langkah-langkah yang telah atau akan diambil oleh Kementerian untuk mengawal selia industri kecantikan dan mengelakkan insiden-insiden yang tidak diingini berlaku dan melindungi pengguna pada masa hadapan,” katanya lagi.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.