Komitmen KESUMBA Santuni Masyarakat Tempoh Pandemik Jadi Contoh: Taufiq


Komitmen warga Kelab Surirumah dan Staf Wanita Universiti Malaysia Sabah (KESUMBA) dalam melaksanakan pelbagai aktiviti menyantuni masyarakat wajar menjadi contoh.

Naib
Canselor Universiti Malaysia Sabah, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin
berkata, ini kerana mereka masih mampu menguruskan masa untuk melaksanakan
aktiviti yang memberi manfaat tatkala sibuk dengan tugasan dan tanggungjawab
masing-masing.

“Kesibukan
tugas hakiki sebagai penjawat awam, isteri, ibu dan guru dalam mendidik anak
sepanjang tempoh pandemik tidak menjadi halangan dalam melaksanakan aktiviti
kemasyarakatan bagi warga UMS dan juga masyarakat setempat.

“Pelbagai
usaha yang digerakkan bagi menyantuni masyarakat jelas menunjukkan iltizam dan
kecintaan dalam perkara yang disukai akan mendorong terhadap pengurusan masa
dengan efisyen  bagi memastikan apa yang
diingini akan diperoleh.

“Semoga
usaha KESUMBA ini menjadi inspirasi masyarakat di luar sana,” katanya.

Beliau
berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) KESUMBA
Kali ke-24 yang berlangsung secara atas talian melalui platform Cisco Webex.

Jelas
Taufiq, aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan oleh KESUMBA mampu memberi impak
yang positif sekaligus meningkatkan produktiviti ahli serta memperkasakan kaum
wanita itu sendiri.

“Selaras
dengan tema Sambutan Hari Wanita pada tahun ini iaitu ‘Wanita Bangkit Mendepani
Cabaran”, diharapkan agar ahli KESUMBA akan sentiasa cekal, bersemangat dan
kuat dalam mendepani apa jua cabaran yang mendatang.

“Ini
adalah kerana anda merupakan sistem sokongan utama kepada suami dan anak-anak
selain menjadi individu penting di universiti ini,” kata Taufiq.

Beliau
turut berharap agar KESUMBA akan terus maju dan dapat merealisasikan matlamat
penubuhannya, yang antara lain berusaha meningkatkan imej dan nama baik
universiti melalui jalinan kerjasama serta penganjuran aktiviti yang memberi
manfaat kepada ahli.

Terdahulu,
Yang Dipertua KESUMBA, Datin Dr. Amalina Abdullah memberitahu, sepanjang tempoh
Ogos 2020 sehingga Julai 2021, KESUMBA telah melaksanakan sebanyak 24 aktiviti,
yang merangkumi aspek kesihatan samada dari segi kesihatan mental dan fizikal,
kerohanian, pengurusan kewangan di musim pandemik, pengurusan keluarga juga
penjagaan haiwan dan tumbuhan.

KESUMBA
juga katanya sentiasa komited dalam penjaga kebajikan ahli. Malah keprihatinan tersebut
turut dipanjangkan kepada warga UMS, pelajar dan masyarakat setempat.

“Sejak
pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac 2020, KESUMBA telah
melancarkan KESUMBA CARE yang bertujuan untuk membantu mana-mana ahli KESUMBA
yang memerlukan sumbangan sepanjang tempoh PKP

“Selain
itu, KESUMBA turut menyalurkan bantuan kepada golongan ibu tunggal dan anak orang
kurang upaya (OKU), pelajar B40 dan rumah anak yatim,” katanya.

Amalina
turut memaklumkan sebanyak 91 penerima telah mendapat manfaat sejak KESUMBA
CARE dilancarkan termasuk ahli yang ditimpa musibah seperti banjir, sakit atau
keluarga meninggal, serta sumbangan kepada eman ahli KESUMBA yang telah
bersara.

“Justeru,
diharapkan barisan Exco
KESUMBA 2021/2022 yang bakal dilantik dapat menjadi satu pasukan yang kuat dan
terus menjadikan KESUMBA sebagai salah satu kelab yang sentiasa berada dekat di
hati ahli dan masyarakat sekeliling,” ujar Amalina.

Hadir
sama pada MAT Kesumba secara atas talian Timbalan Yang Dipertua KESUMBA, Prof.
Madya Dr. Suraya Sintang; Pengerusi KESUMBA Kampus Antarabangsa Labuan, Loria
Masidong; Pengerusi KESUMBA Fakulti Pertanian Lestari, Sandakan, Ruslili
Norzaharah Hassan; dan pengerusi MAT, Muhajira Muchlis.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *