Kes kumulatif Covid-19 melebih 1 juta. Hari ini 17,045 kes baru


Kementerian Kesihatan melaporkan rekod tertinggi 17,045 kes Covid-19 dan 9,683 pesakit sembuh, manakala 92 pesakit meninggal dunia.

Ini adalah hari ketiga berturut-turut jangkitan harian mencatatkan rekod baharu, selepas 15,573 kes kelmarin dan 15,902 kes semalam, menjadikan kumulatif jangkitan kini melepasi 1 juta kes.

Keseluruhannya, seramai 844,541 daripada 1,013,438 pesakit Covid-19 sudah sembuh, manakala 7,994 orang meninggal dunia akibat jangkitan itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 160,903 kes aktif di seluruh negara, dengan 501 daripada 970 pesakit di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, Selangor terus mencatatkan jangkitan harian tertinggi, dengan 8,500 kes.

Ini disusuli Kuala Lumpur (2,045), Kedah (1,216), Johor (950), Sabah (818), Perak (609), Pulau Pinang (573), Negeri Sembilan (513), Pahang (424), Sarawak (407), Melaka (370), Terengganu (273), Kelantan (266), Putrajaya (50), Labuan (21) dan Perlis (10).

Daripada jumlah kes baharu itu, enam ialah kes import dan baki 17,039 kes penularan tempatan membabitkan 13,169 warganegara serta 3,870 warga asing.

Hisham berkata, 187 kes dalam Kategori 5, 124 kes Kategori 4 dan 122 kes Kategori 3. Keseluruhannya, 97.4% daripada jumlah kes hari ini dalam Kategori 1 atau 2.

Katanya, 92 kematian itu terdiri daripada 90 warganegara dan dua warga asing, dengan semuanya kecuali lapan orang mempunyai sejarah penyakit lain, manakala lapan lagi hanya dikesan positif Covid-19 selepas mayat mereka dibawa ke hospital.

Selangor terus mencatatkan angka korban tertinggi dengan 27 kematian, disusuli Johor (23), Kuala Lumpur (12), Negeri Sembilan (11), Melaka (lima), Kedah (empat), Pahang (tiga), Sabah (dua), Sarawak (dua), Perak (satu), Terengganu (satu) dan Labuan (satu).

Setakat semalam, beliau berkata, kadar kebolehjangkitan Covid-19 negara ialah 1.11 berbanding 1.09 pada hari sebelumnya.

Terengganu terus mencatatkan R-nought tertinggi pada 1.36, manakala negeri lain dengan R0 melebihi 1.0 ialah Kelantan (1.29), Kedah (1.23), Pulau Pinang (1.23), Sabah (1.21), Johor (1.19), Putrajaya (1.17), Pahang (1.15), Selangor (1.15), Kuala Lumpur (1.13), Perak (1.13), Melaka (1.05) dan Negeri Sembilan (1.03).



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *