Kerajaan Persekutuan Memerlukan Pasukan Vaksin Rakyat untuk menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK)


Kes positif Covid-19 di Malaysia kini telah melepasi India dengan jumlah 194.4 sehari bagi setiap satu juta orang berbanding 178.04.

Berikutan peningkatan mendadak yang amat membimbangkan, WISDOM Foundation menggesa Kerajaan Persekutuan untuk segera menubuhkan sebuah Pasukan Vaksin Rakyat bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Sejak dari mulanya pandemik Covid-19, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk menangani situasi dengan memperkenalkan prosedur operasi piawai (SOP) yang tidak efektif, selain pelbagai peringkat perintah kawalan pergerakan (PKP), dan juga melaksanakan cadangan perintah darurat
seluruh negara.

Meskipun pelbagai tindakan telah diambil, sehingga hari ini, Malaysia mencatatkan kes positif Covid-19 yang meningkat sehingga melepasi jumlah 7000 kes, berbanding 3,309 kes di awal pengisytiharan darurat pada 12 Januari 2021.

PICK mula dilaksana pada Februari 2021 dengan misi untuk memvaksin 80% populasi dewasa dalam jangka masa 1 tahun, akan tetapi, sehingga kini data menunjukkan hanya 1.7 juta daripada 32 juta rakyat telah menerima vaksin menunjukkan pelaksanaan yang amat perlahan.

Sekiranya PICK ingin dilaksana dengan jayanya, kerjasama untuk membuahkan hasil menang-menang antara Kerajaan dan rakyat perlu merangkumi lima prinsip utama seperti yang dijelaskan oleh Dr Khor
Swee Kheng dan Dr Rebecca Lee Pei Ern:

  1. Kerajaan harus transparen dalam mengemukakan maklumat berkaitan operasi dan pengurusan fiskal selain melaporkan data lengkap berkaitan status vaksinasi Covid-19.
  2. Saluran komunikasi yang efisien dan seragam dalam menyampaikan maklumat yang betul perlu di laksana agar kerisauan rakyat dapat diredakan.
  3. Matlamat dan sasaran yang jelas perlu ditetapkan agar rakyat dapat menilai keberkesanan inisiatif PICK selain dapat menjangka perkara yang akan berlaku sekiranya terdapat indikator penyelesaian alternatif diperlukan untuk mencapai sasaran.
  4. Kerajaan dan rakyat perlu melaksana tanggungjawab dalam pelaksanaan PICK memandangkan tindakan kedua-dua pihak memberikan impak yang besar kepada kejayaan program tersebut.
  5. Pelaksanaan PICK perlu inklusif, melibatkan semua kumpulan termasuklah minority dan memastikan akses maklumat dan vaksin adalah untuk semua.

Kesenjangan dan ketidaksinambungan antara pembuat dasar dan rakyat perlu diselesaikan agar kedua-dua pihak boleh memainkan peranan yang aktif dalam melaksanakan inisiatif imunisasi dan melindungi negara ini.

Tanggungjawab untuk memastikan pemerkasaan penyertaan rakyat untuk memastikan Malaysia yang lebih selamat untuk semua adalah terletak di dalam bidang kuasa Kerajaan.

Penulis ialah Pengerusi Eksekutif WISDOM Foundation dan Ahli Parlimen Tuaran
Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *