Hibur-hibur sambut birthday, 21 orang kena tahan di Asia City semalam


 Leka menyambut hari jadi di sebuah pusat hiburan, 21 individu ditahan di Kompleks Asia City, di sini, dalam Operasi Khas Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, malam tadi.

Operasi jam 10 malam itu dijalankan hasil pemantauan Pasukan Pematuhan Khas, cawangan jenayah, narkotik dan jenayah pemerdagangan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, ketika serbuan, semua individu terbabit didapati sedang leka berhibur di sebuah bilik dengan bunyi muzik yang kuat.

Katanya, pada awalnya polis berdepan sedikit halangan untuk masuk selepas kumpulan individu berkenaan dipercayai mengunci pintu dari dalam selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa menerusi kamera litar tertutup (CCTV).

“Bagaimanapun, polis berjaya memecah pintu dan masuk untuk menahan kumpulan terbabit. Hasil pemeriksaan seramai 21 individu membabitkan 14 lelaki dan tujuh wanita sedang berhibur di satu bilik di tingkat empat bangunan berkenaan.

“Semua yang ditahan berusia lingkungan 21 hingga 35 tahun. Polis turut menahan pemilik pusat hiburan berkenaan” katanya ketika ditemui selepas operasi berkenaan.

Mohd Zaidi berkata, pemilik pusat hiburan berkenaan dikenakan kompaun bernilai RM10,000 kerana melanggar SOP PKP 3.0.

Manakala katanya, 17 lagi individu pula dikompaun sebanyak RM1,500 setiap seorang kerana  melanggar SOP iaitu berada di tempat hiburan dalam tempoh PKP.

“Tiga lagi warganegara asing ditahan dan siasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin boleh menyebabkan jangkitan penyakit merbahaya kepada awam, yang boleh dipenjara selama enam tahun atau di denda atau kedua-duaanya.

“Hasil ujian air kencing juga mendapati empat lelaki serta empat wanita positif dan mereka kemudiannya di bawa ke IPD Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, siasatan lanjut mendapati lesen pusat hiburan berkenaan juga sudah tamat tempoh sejak 2018. – Asia Times



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *