Chun How Yin terima Anugerah Pingat Emas Canselor Majlis Konvokesyen UMS –


Kota Kinabalu: Graduan Fakulti Perniagaan Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) muncul sebagai penerima Anugerah Pingat Emas Canselor pada Majlis Konvokesyen UMS ke-22.

Chun How Yin, 25, diumumkan sebagai penerima anugerah tersebut setelah meraih himpunan purata nilai gred (CGPA) 3.92 dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dengan Kepujian Universiti Malaysia Sabah (UMS) (Pengurusan Kewangan dan Perbankan).

Menurutnya, kunci utama kejayaan beliau adalah sentiasa berfikiran positif dalam semua aspek.

“Sekiranya mempunyai masalah jangan pernah kita pandang dari sudut negatif, kerana ia akan merumitkan lagi keadaan.

“Apabila kita berfikiran positif, hidup kita akan menjadi lebih tenang dan hati akan berasa lapang. Oleh itu, ia akan memudahkan kita belajar dengan lebih kondusif dan berfikiran terbuka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Dewan Canselor, di sini, kelmarin.

Chun How Yin berkata, pada ketika ini beliau bekerja sebagai Pengurus Akaun Jualan di salah sebuah syarikat yang berpangkalan di Pulau Pinang.

“Sebelum ini, saya juga pernah bekerja sambilan di sebuah bank sebagai akauntan.

“Matlamat pertama saya ialah untuk membalas jasa dan memberi keselesaan kepada kedua orang tua.

“Bagi saya keluarga adalah segalanya dan merupakan tulang belakang dari dahulu sehingga kini,” tambahnya.

Untuk rekod, Majlis Konvokesyen UMS ke-22 berlangsung selama enam hari sehingga 31 Mac 2022 melibatkan 4,728 graduan yang tamat pengajian pada tahun 2020.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.