Beberapa lokaliti PKPD termasuk Mukim Tungku, Lahad Datu dan Kampung Padawan, Papar


Perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD) akan dilaksanakan di beberapa lokaliti di Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak mulai 31 Mei hingga 13 Jun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, ia membabitkan PKPD di Taman Desa Permai, Rumah Rakyat Juasseh dan Taman Sri Juasseh di Mukim Juasseh, Kuala Pilah di Negeri Sembilan, selepas 51 kes positif direkodkan.

Katanya, PKPD turut dilaksanakan di Felda Sahabat 40 (Kampung Kembara Sakti) di Mukim Tungku, Lahad Datu dan Kampung Padawan di Papar, Sabah untuk tempoh sama.

Beliau berkata, masing-masing 10 dan sembilan kes positif dilaporkan di Felda Sahabat 40 serta Kampung Padawan.

“Pelaksanaan PKPD ini bertujuan menyekat pergerakan dan penularan jangkitan Covid-19 dari kawasan berisiko ke luar lokaliti tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Di Sarawak, PKPD membabitkan Rumah Panjang Rimong anak Kilat, Rumah Panjang Asin anak Aji dan Rumah Panjang Bija anak Unggang di Ulu Sungai Sebakong, Mukah selepas 35 kes positif dikesan.

Ismail berkata, PKPD di Kampung Sungai Langgas, Kunak, Sabah yang sepatutnya berakhir esok, dilanjutkan sehingga 13 Jun selepas 53 kes positif direkodkan.

“Pada masa sama, Kementerian Kesihatan mendapati kes masih menular di lokaliti tersebut serta terdapat juga sampel ujian saringan sedang menunggu keputusan.”

Tetapi, katanya, PKPD di Seri Kemunting di Kuantan dan Kampung Paya Teh di Jerantut, Pahang ditamatkan mengikut jadual esok.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, 617 orang ditahan melanggar SOP perintah kawalan pergerakan semalam, dengan 579 daripadanya dikompaun dan 38 lagi direman.

Ia termasuk tidak memakai pelitup muka (118), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan di premis (112), tiada penjarakan fizikal (111), gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (77), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (66), aktiviti pusat hiburan (11) dan lain-lain kesalahan (122).

Katanya, 32 pendatang asing tanpa izin turut ditahan dan 12 kenderaan darat dirampas dalam Operasi Benteng semalam.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *