Bantuan khas penjawat awam RM500 dibayar 18 Disember



PUTRAJAYA: Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah serta RM250 bagi pesara akan dibuat pada 18 Disember ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini berkata, bayaran khas tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM1 bilion.

“Pembayaran sebelum hujung tahun dibuat antara lainnya untuk membantu ibu bapa di kalangan penjawat awam dengan persiapan untuk persekolahan anak mereka menjelang tahun baharu,” katanya dalam kenyataan.

Lim berkata, bantuan RM500 itu akan memberi manfaat kepada 1.5 juta penjawat awam kerajaan Persekutuan merangkumi pegawai lantikan tetap serta pegawai kontrak.

Bayaran khas sebanyak RM250 pula akan memberi manfaat kepada satu juta pesara termasuk veteran tidak berpencen dan pesara awam tidak menerima pencen bagi mengenang khidmat bakti mereka, katanya.

Bantuan Khas Kewangan tersebut diumumkan Lim dalam ucapan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober lepas. – BERNAMA



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *