Kadar kematian Covid-19 babitkan pusat jagaan warga emas tinggi


Kadar kematian disebabkan Covid-19 dalam kalangan penghuni pusat jagaan atau rumah perlindungan warga emas agak tinggi berbanding kadar kematian kebangsaan, kata ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya ketika ini, kadar kematian dalam kalangan golongan rentan itu adalah sebanyak 1.48% daripada keseluruhan kes Covid-19 yang dilaporkan manakala kadar kematian kebangsaan adalah pada paras 0.38%.

Katanya, sehingga kini, seramai 610 penghuni di pusat jagaan warga emas sudah dijangkiti wabak Covid-19, membabitkan 583 warga tempatan atau 95.6% dan 27 bukan warganegara atau 4.4%.

“Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan sebanyak 21 kluster jangkitan membabitkan pusat jagaan warga emas, dua daripadanya pada gelombang kedua dan 19 lagi pada gelombang ketiga.

“Ketika ini, 15 kluster masih lagi aktif manakala enam sudah tamat dan jumlah keseluruhan mereka yang disaring dari pusat jagaan warga emas adalah sebanyak 1,840,” katanya pada sidang media harian perkembangan jangkitan Covid-19 di Putrajaya hari ini.

KKM melaporkan 283,629 kes pulih daripada keseluruhan 307,943 kes Covid-19 dengan 1,153 kematian yang direkodkan setakat ini.

Dalam perkembangan lain Noor Hisham berkata, kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) atau R-naught (RO) di beberapa negeri menunjukkan penurunan dan sekiranya dapat dikekalkan dalam tempoh dua minggu, ia akan melandaikan kes jangkitan Covid-19.

Katanya,semalam sebanyak 1,745 kes baharu dilaporkan dengan nilai RT 0.81 iaitu kurang daripada unjuran garisan zon merah yang diunjurkan oleh KKM.

“Di Selangor dan Johor nilai RT menunjukkan penurunan dan amat memberangsangkan. Jadi kita perlu pertahankan jumlah RT itu bagi mengekalkan trend penurunan kes.

“Selain itu, di Terengganu kita lihat nilai RT sudah mencapai 0.51 dan jika kita dapat kekalkan dalam tempoh dua minggu, sudah tentu ia akan melandaikan keluk kes jangkitan di negeri berkenaan,” katanya.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *