2,200 ROKOK TIDAK BERCUKAI DIRAMPAS, KEJADIAN DI LAHAD DATU


LAHAD DATU: Sebanyak 2,200 bungkus rokok dipercayai tidak bercukai berjaya dirampas dalam operasi di pesisir Pantai Tandu, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu yang sedang menjalankan operasi pemantauan terserempak dengan sebuah bot jenis pam dalam keadaan mencurigakan.

Bagaimanapun, usaha untuk menahan bot berkenaan bagi menjalankan pemeriksaan tidak kesampaian apabila juragan bot pam itu bertindak memecut laju menuju ke pesisir pantai.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, ketika sampai di kawasan pesisir pantai, bot pam berkenaan kemudiannya didapati terkandas.

Namun katanya, juragan bot berjaya melarikan ke kawasan pantai berhampiran sebelum gagal dikesan.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 2,200 bungkus rokok pelbagai jenama disyaki tidak bercukai iaitu jenama Astro Filter King dan L3 Menthol.

“Turut ditemui sejumlah wang dalam mata wang asing berjumlah 2,140 Peso. Jumlah rampasan rokok pula dianggarkan bernilai RM 31,944 selepas cukai,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Ahmad berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 39,944 termasuk bot dan dua unit enjin pam.

Katanya, semua barang-barang rampasan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

“Kes rampasan rokok disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Sementara itu, di Kota Kinabalu, sepasukan pegawai dan anggota PPM Kota Kinabalu berjaya merampas 100 bungkus rokok tanpa cukai di kawasan parkir pasar malam Bulatan Todak, di sini, jam 5.30 pagi tadi.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Enturan Anak Lageh berkata, ketika operasi dilakukan, dua lelaki dilihat sedang melakukan urus niaga dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, ketika cuba dihampiri, kedua-dua lelaki terbabit bertindak melarikan diri ke arah laut dan menuju ke arah bot yang bersedia menunggu dipercayai rakan subahat mereka.

“Ketika pemeriksaan dijalankan polis menemui 100 bungkus rokok tanpa cukai yang disimpan dalam bungkusan plastik hitam.

“Jumlah keseluruhan batang rokok yang ditemui adalah berjumlah 20,000 Batang. Semua rokok yang dirampas dianggarkan bernilai hampir RM5,000 selepas taksiran cukai,” katanya. – ASIA TIMES



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *