WARGA ASING MAUT DIREMPUH – Berita Sabah


Oleh Wartawan BS

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan dalam kejadian di Jalan Coastal, dekat Sinsuran, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.15 malam itu, mangsa Alexander Tayros Suminggit, 56, yang berasal dari Filipina meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Perodua Rusa dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun dalam perjalanan dari Sinsuran menuju ke Inanam.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, pemandu yang memandu di lorong kiri dipercayai terlanggar mangsa yang melintas jalan dari arah kanan ke kiri secara tiba-tiba.

“Akibat kejadian itu, mangsa terbaring di atas jalan selepas parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia oleh doktor dari Hospital Queen Elizabeth I (HQE I),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai daripada kecuaian mangsa kerana melintas pada tempat yang tidak dibenarkan.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HQE I untuk bedah siasat.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *