DUA PENCULIK DITEMBAK MATI – Berita Sabah

[ad_1]

Oleh Wartawan BS

KOTA KINABALU: Dua lelaki disyaki daripada kumpulan penculik untuk wang tebusan (KFR) ditembak mati oleh pasukan keselamatan Filipina.

Kedua-dua suspek lelaki mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan Filipina di perairan kepulauan Jolo, selatan Filipina, pada Isnin lalu.

Difahamkan, kedua-dua suspek ini adalah daripada kumpulan enam lelaki yang menculik lima nelayan warga Indonesia di perairan Tambisan, Lahad Datu, pada 15 Januari lalu.

Menurut sumber, sebelum kejadian, kedua-dua penjenayah yang lengkap bersenjata menggunakan bot laju membawa lima lelaki yang diculik ke sebuah pulau (tempat persembunyian KFR) di selatan Filipina.

“Selepas menurunkan lima mangsa di sebuah pulau di selatan Filipina, kedua-dua suspek meneruskan perjalanan ke sebuah pulau lagi.

“Ketika dalam perjalanan itu, suspek terserempak dengan bot pasukan keselamatan Filipina lalu berlaku tembak menembak.

“Akibat daripada berbalas tembakan itu, dua penjenayah mati manakala anggota pasukan keselamatan Filipina tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan kedua-dua penjenayah itu ditembak mati oleh pasukan keselamatan Filipina kerana disyaki terbabit dalam KFR.

“Dua lelaki disahkan ditembak mati oleh pasukan Keselamatan Filipina dua hari lalu. Mereka dikenal pasti ahli KFR,” katanya.

Terdahulu, Hazani mengesahkan pihaknya menerima laporan kapal nelayan hilang pada 1 tengah hari, 16 Januari lalu sebelum menggerakkan aset laut dan udara untuk mengesan semua mangsa.

Kejadian dipercayai berlaku pada 15 Januari lalu, namun dilaporkan diterima pada keesokannya dengan kelima-lima mangsa dipercayai dibawa lari ke perairan selatan Filipina oleh sekumpulan enam suspek bersenjata.

Kapal nelayan itu berdaftar di Sandakan ditemui di perairan Tangusu Bay iaitu lokasi berhampiran kes penculikan sebelum ini.

[ad_2]

Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *