The Weight of Our Sky: Novel Hanna Alkaf dari Malaysia, pemenang anugerah dari Amerika

[ad_1]

NAMA Hanna Alkaf satu hari nanti mungkin disebut sebaris dengan JK Rowling, tetapi anugerah novel antarabangsa pertama penulis Malaysia dari Sungai Buloh ini mungkin akan timbul satu cerita yang bakal menjadi legenda, sama seperti pencetus dongeng Hogwarts.

Dunia penulisan negara menerima berita gembira pada awal dekad baharu ini apabila novel sulung antarabangsa Hanna Alkaf, 34 – seorang ibu beranak dua yang mengukir nama dalam dunia penulisan novel di Malaysia – dinobat sebagai penerima Freeman Book Awards anjuran Columbia University dari Amerika Syarikat (AS).

Dalam kalangan mereka yang jarang-jarang mengikuti perkembangan dunia penulisan dalam Bahasa Inggeris oleh penulis Malaysia, sudah tentu pencapaian ini kurang membawa makna.

Tetapi bagi warga seni buku dan penulisan tempatan, ramai yang kenal Hanna Alkaf melalui penglibatannya dalam pelbagai acara yang mengumpul insan berjiwa seni dan ulat buku.

The Weight of Our Sky adalah antara pemenang kategori Remaja/Sekolah Tinggi (Young Adults/High School Literature) – satu anugerah tahunan tajaan Columbia University.

Anugerah ini khusus untuk mempertingkat pemahaman tentang Asia Timur dan Asia Tenggara melalui penyebaran penulisan dan pembacaan.

Setiap tahun, Columbia University menaja hadiah Freeman Book Awards bagi menyokong usaha The National Consortium for Teaching about Asia (NCTA),  Association for Asia Studies (AAS) dan Asia for Eduction (AFE) dari universiti yang sama.

Dua kategori penulisan diberi pengiktirafan – kategori untuk kanak-kanak dan kategori untuk remaja.

Novel Hanna Alkaf berkisar kisah hidup remaja bernama Melati Ahmad yang baru berumur 16 tahun – hidup berlatar belakang rusuhan kaum yang melanda negara pada tahun 1969.

Peluang untuk menimba isu semasa ditimbulkan dengan keadaan mental protagonis ini yang dilanda sifat kecelaruan OCD (obsessive compulsive disorder); selain melibatkan gangguan jin.

Bagi melebarkan konflik dalam karakter Melati, ditimbulkan isu antara anak dengan emak yang berpisah ketika masing-masing menghadapi pelbagai tekanan keadaan semasa.

Ini bukan kali pertama The Weight of Our Sky menerima pengiktirafan. Pada tahun lepas, buku ini diberi terjemahan berbentuk komik dalam dunia kartun bersiri di ruang maya internet.

Hanna kini sedang sibuk menyiapkan novel seterusnya, Once Upon an Eid (bulan Mei) dan The Girl and The Ghost (Ogos) yang bakal diterbitkan oleh penerbit terkenal, HarperCollins.

Ini kali kedua novelis Malaysia dianugerah Hadiah Freeman Book Awards. Shamini Flint yang lahir di Malaysia tetapi menetap di Singapura pernah menerima anugerah yang sama.

[ad_2]

Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *