
Anggota PPM dan Jabatan Imigresen Lahad Datu serta saspek yang ditahan semasa operasi semalam
Oleh Faizal Rahman
LAHAD DATU : Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu telah menangkap lima belas orang warga Filipina di perairan sini dalam operasi bersepadu bersama Jabatan Imigresen semalam.
Komander PPM Sabah, ACP Hj Mohamad Pajeri Ali berkata, tangkapan yang berusia dalam lingkungan umur 3 tahun hingga 50 tahun tersebut telah ditahan semasa pemeriksaan dijalankan di kawasan Kampung Tong Batu Lok Damai, Pulau Sakar pada jam lebih kurang 12.30 tengahari.
Menurutnya lagi, pemeriksaan awal mendapati kesemua saspek gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. Malah, mereka juga telah mengakui secara lisan bahawa mereka adalah berasal dari Filipina semasa disoal oleh pegawai dari Jabatan Imigresen.
“Tujuan operasi ini dijalankan adalah bertujuan untuk membanteras isu pendatang asing tanpa izin yang semakin berleluasa. Operasi Inter Agensi ini juga melibatkan seramai tiga pegawai, 16 orang Anggota PPM Lahad Datu dan juga seramai dua orang Pegawai bersama dua orang anggota dari Jabatan Imigresen Lahad Datu serta tiga buah aset PPM,” tambah beliau.
Kesemua saspek telah dibawa terus oleh Jabatan Imigresen untuk disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Operasi akan diteruskan sepanjang perayaan Krismas dan tahun baru bagi mengekang pendatang tanpa izin di Sabah, kata Mohamad Pajeri.
Justeru itu, masyarakat yang mempunyai maklumat berkaitan dengan jenayah, lain-lain kesalahan atau sebarang aktiviti yang mencurigakan di perairan Sabah disarankan supaya membuat laporan polis di Balai Polis berdekatan, kata Mohamad Pajeri.