Kerajaan Peruntuk Berjuta Ringgit untuk Tanaman Getah


Datuk Junz Wong dan Datuk Peter Anthony merakam gambar kenangan bersama para peserta Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) dan orang ramai

Oleh: Nio James

TENOM: Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah
melalui Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) sebagai sebuah agensi pelaksana
telah memperuntukkan berjuta ringgit bagi melaksanakan pelbagai projek
penamanan getah di seluruh negeri Sabah khususnya untuk para pekebun kecil
getah.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sabah,
Datuk Junz Wong berkata, sehingga kini, LIGS telah dan sedang melaksanakan
beberapa projek penting seperti projek khas penanaman getah di Kanibongan
Pitas, projek agropoliotan Gana di Kota Marudu dan projek-projek mini Estet
Sejahtera (MESEJ).

Katanya, bagi tahun 2019, LIGS sedang melaksanakan projek
tanam baru dan tanam semula getah meliputi seluas 5,016 hektar melibatkan
seramai 1,672 pekebun kecil getah.

“Di daerah Tenom Sahaja, seluas 19,311.65 hektar
getah telah ditanam sehingga kini melibatkan 5,417 pekebun kecil,”
katanya.

PENGHARGAAN…Datuk Peter Anthony menerima cenderakenangan daripada Timbalan Pengerusi LIGS David William

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan Bantuan
Musim Tengkujuh (BMT) dan penyerahan geran tanah kepada peneroka Skim
Penempatan Getah bertempat di Kuala Tomani dan Lagud Sebrang, Tenom kelmarin.

BMT adalah satu bantuan yang diberikan kepada pekebun
kecil getah yang layak untuk meringankan beban kewangan mereka kesan daripada
tibanya musim tengkujuh.

Datuk Junz Wong menyampaikan bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada pekebun kecil getah daerah Tenom.

Bantuan yang diberikan adalah sebanyak RM200 sebulan
selama tiga (3) bulan iaitu untuk bulan November 2018, Disember 2018 dan
Januari 2019.

Sejumlah RM35 juta telah disalurkan kepada LIGS untuk
dibayar kepada seramai 58,333 pekebun kecil di seluruh negeri Sabah.

Bagi daerah Tenom, sebanyak RM3.4 juta BMT akan dibayar
kepada kira-kira 5,678 orang pekebun kecil.

Junz berkata, LIGS juga menjalankan aktiviti ekonomi
tambahan (AET) bagi memastikan para pekebun kecil memperolehi pendapatan
sampingan seperti penanaman halia, lada hitam, buah-buahan serta pemeliharaan
lebah kelulut.

Katanya, kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM3
juta khusus untuk melaksanakan projek tersebut.

“Usaha ini terbukti telah membuahkan hasil dimana
para peserta tekah dibawa ke beberapa program bagi menjual hasil halia dan madu
kelulut mereka.

Antara program tersebut adalah JTDL (Jualan Terus Dari
Ladang) FAMA, KUD (Karnival Usahawan Desa) anjuran Kementerian Pembangunan Luar
Bandar (KPLB) dan yang terbaru HPPNS (Hari Peladang, Penternak dan Nelayan
Negeri Sabah),” katanya.

Junz berkata, tidak dinafikan, isu yang membelenggu para
pekebun kecil getah pada masa ini adalah kejatuhan harga getah.

Katanya, kerajaan telah memperkenalkan skim Insentif
Pengeluaran Getah (IPS) bagi mengurangkan impak kejatuhan harga getah.

Datuk Peter Anthony menyampaikan Geran Tanah kepada Peneroka Skim Penempatan Getah Kuala Tomani dan Lagud Sebrang Daerah Tenom

“Bantuan IPS akan dibayar kepada para pehebun kecil
apabila purata harga bulanan getah berada di bawah paras harga lantai iaitu
RM2.50/kg.

Beliau menasihati para pekebun kecil agar mengamalkan GAP
(Good Agriculture Practice) atau Amalan Pertanian Yang Baik) bagi meningkatkan
hasil pengeluaran dan sekaligus meningkatkan pendapatan.

Beliau juga mengingatkan para pekebun kecil agar
mendapatkan maklumat  yang tepat dengan
merujuk kepada sumber-sumber yang sahih.

“Terutama sekali daripada LIGS atau badan-badan yang
diiktiraf. Kita hendaklah berhati-hati dan waspada terhadap yang diviralkan
dalam laman sosial dan menyemak terlebih dahulu kebenaran maklumat-maklumat
berkenaan,” katanya.

Turut hadir Menteri Pembangunan Infrastruktur merangkap
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melalap Datuk Peter Anthony, Pembantu Menteri
Pertanian dan Industri Makanan, Dr Daud Yusuf, Adun Kemabong Jamawi Jaafar,
Ahli Parlimen Tenom Noorita Sual dan Pengerusi LIGS Datuk John Ot Ghani.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *