JENAYAH MEMBABITKAN PATI DI SABAH DI TAHAP MEMBIMBANGKAN


Oleh Ahmad Tamrin
 
TAWAU: Kejadian jenayah yang membabitkan Pendatang Tanpa Izin (PATI) di Sabah kini berada di tahap yang membimbangkan.

Terdapat banyak kes jenayah yang dilakukan PATI terhadap orang-orang tempatan termasuk kes pembunuhan pemandu Grab di Kota Kinabalu dan pergaduhan di Ranau, dan yang terbaharu pembunuhan seorang peniaga warung makanan di sini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (gambar), kelmarin.

Isu ini harus dibanteras bersama oleh semua yang berkepentingan dan saya menyeru supaya pihak keselamatan meningkatkan lagi usaha dalam membanteras jenayah di seluruh negeri ini termasuklah di Tawau, katanya lagi.


Nizam yang juga Ketua Penaja Parti BERSATU Bahagian Tawau berkata kepada media di Kampung Titingan selepas melawat waris keluarga peniaga warung yang mati dibunuh.


Nizam meminta agar pihak keselamatan memperketatkan kawalan menghalang kemasukan PATI dan menghantar pulang mereka yang berada di negeri ini.


Beliau juga menasihati orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan jika terdapat maklumat berhubung individu yang mencurigakan atau kegiatan jenayah laporkan segera kepada polis untuk tindakan.


“Pihak saya akan membantu menyiapkan rumah untuk kediaman waris keluarga mangsa bunuh yang tidak sempat disiapkan mangsa dan ini adalah usaha kita dapat lakukan untuk membantu mereka ,” kata Nizam selepas bertemu dengan isteri mangsa Sunarti Ismail.
 

Dalam kejadian lebih kurang jam 5.00 petang tiga hari lepas,  mayat peniaga warung makanan Jaafar Jalman, 49, ditemui dengan kesan tikaman pada bahagian badan dan tengkuk dalam longkang di kawasan letak kereta belakang kedai menjual perkakas kegunaan rumah di Jalan Bantu.

 

Pihak polis berjaya menahan empat remaja lelaki warga asing yang tidak memiliki keterangan diri, untuk siasatan berhubung kes tersebut.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *